Tuesday 28 April 2015

Apa itu DDR, DDR2, DDR3, DDR4?

DDR, DDR2, DDR3, DDR4 adalah bagaimanakah jenis-jenis memori RAM. Membeli perkakasan komputer pada kebanyakan masa adalah mudah terutama bagi anda yang peka dengan perkembangan teknologi ICT semasa di pasaran. Mencari dan memahami  istilah-istilah teknologi merupakan sebahagian dari norma hidup pencinta IT. Oleh itu, bagi anda yang gemarkan menelusuri perkakasan dan gajet di pasaran, terma akronim yang digunapakai bersama-sama RAM, DDR, DDR2 dan DDR3 bukanlah sesuatu yang asing lagi.



Apakah ini semua? Maksud dia? Dan apakah perbezaannya antara satu sama lain?

Pada masa ini, DDR3 adalah jenis RAM yang paling mudah diketemukan di pasaran sejak kemunculannya menggantikan DDR dan DDR2. Oleh itu, bagi yang menggunakan slot DIMM terdahulu akan mengalami kesukaran untuk memperoleh DDR dan DDR2.

Oh ya, anda tentu tertanya-tanya, apakah yang dimaksudkan dengan DDR3?

Sejarah Ingatan Capaian Rawak (Random Access Memory, RAM)
Untuk memahaminya, anda perlu mengetahui sejarah berkenaan RAM (Random Access Memory) atau Ingatan Capaian Rawak bagi sistem komputer. Pada awal dekad 1990-an, SDRAM atau synchronous dynamic random access memory telah dibangunkan untuk mengatasi permasalahan komputer yang dialami seiring dengan perkembangan teknologi pemprosesan.

Sebelum ini, sistem komputer bergantung kepada DRAM yang antaramukanya tidak disegerakkan (asynchronous), di mana ianya beroperasi secara bebas tanpa perlu menunggu arahan dari pemprosesan. Ini menimbulkan masalah apabila ia tidak dapat memenuhi kesemua permintaan dari pemprosesan kerana tiada penyegerakkan antara kedua-dua perkakasan ini.

SDRAM
Maka, SDRAM berperanan dalam proses ini melalui penyelarasan dengan menyegerakkan respon memori ke input kawalan melalui sistem BUS. Ini membolehkan tiap-tiap data diproses satu-persatu menurut turutan. Melalui cara ini, komputer dapat melakukan tugasan dengan lebih pantas berbanding sebelumnya dan ia menjadi tanda piawai kepantasan sistem komputer untuk melakukan tugasan pada awal 1990-an.

Tidak lama kemudian, sistem komputer berkembang dengan pesat hingga para pengguna, terutama dikalangan para pembangun sistem merasakan SDRAM ini mempunyai keterbatasannya dari segi kepantasan. SDRAM pada asalnya beroperasi dengan kadar data tunggal (single data rate, SDR). Atas sebab itu, ia hanya mampu menerima satu arahan sahaja pada setiap kitaran klok (clock cycle) walaupun ianya lebih maju dari DRAM. Ketika teknologi sistem komputer berkembang pantas dan menjadi semakin kompleks, masalah pada SDRAM mula menimbulkan kesan terhadap prestasi sistem komputer secara keseluruhan.

DDR
Sekitar tahun 2000, ciri antaramuka yang baharu sedang dibangunkan. Dikenali sebagai DDR (double data rate atau kadar data berganda), ia membenarkan pemindahan data berlaku pada kedua-dua sisi (sisi menaik dan sisi menurun) isyarat klok. Memberikannya kebolehan untuk menggerakkan data hampir dua kali ganda lebih pantas dari SDR SDRAM biasa.

Kelebihan pada perubahan teknologi ini membolehkan memori boleh berfungsi pada kadar klok yang lebih rendah (100-200MHz). Malahan, ia juga menggunakan tenaga yang lebih kecil, sekitar 2.5 volt sahaja selain dari mampu memindahkan data dengan kadar yang lebih pantas pada kelajuan sehingga 400 MTps.

DDR2
Seperti biasa, apabila teknologi berkembang dengan terlalu pantas, RAM jenis DDR pun perlu diubahsuai dari segi rekaan antaramukanya. Pada tahun 2003, muncul DDR2 yang lebih pantas berbanding sebelumnya dengan klok dalamanya (200-500MHz) berfungsi dengan kelajuan yang separuh dari kelajuan bus data. Kadar pemindahanya mampu mencapai sehingga 1,066MTps dan voltan yang lebih rendah pada 1.8 volt.

DDR3
Seterusnya, DDR3 pula muncul pada tahun 2007 dengan kadar kitaran klok dalaman sekitar 400-1,066MHz dan kelajuan kadar pemindahan data sehingga 2,133 MTps. Nilai ini sering kita ketemukan pada kotak papan induk komputer desktop yang menyatakan ”supports DDR3 1333”, nombor “1333” itu merujuk kepada nilai kadar kelajuan pemindahan RAM itu. Seperti biasa, voltannya juga lebih kecil iaitu 1.5 volt.

DDR4
Untuk DDR4 yang lebih terkini, ia masih lagi terhad penggunaannya untuk sistem komputer yang lebih mahal seperti papan induk yang menggunakan platform Intel X99 dan pemprosesan Intel Extreme. Lagipun, harganya masih lagi dikirakan sebagai agak mahal buat masa ini.

DDR4 dikatakan ada disetengahnya mampu mencapai kadar pemindahan sepantas 4,266MTps dan dengan voltan yang lebih kecil pada 1.2 volt.



Peka dengan jenis-jenis RAM
Masalah dengan perubahan teknologi mendadak yang dialami oleh RAM ini membuatkan kita perlu menggantikan sistem komputer yang sedia ada untuk membolekan tiap-tiap perkakasan itu serasi. Selain dari faktor reka bentuk fizikal yang mempunyai kaki-kaki pin yang berbeza seperti DIMM komputer desktop untuk DDR memiliki 184 pin, manakala bagi DDR2 dan DDR3 pula, ia ada 240 pin. DDR2 dan DDR3 dibezakan pada kedudukan lekuk (longkang bagi sesetengah orang) di tengah-tengahnya. Kesemua jenis RAM ini juga dibezakan dari segi voltan setiap satunya yang tidak sama.

Perbezaan fizikal antara jenis-jenis RAM 

Untuk itu, anda perlu peka terhadap jenis-jenis RAM andainya mahu ingin menaiktaraf sistem komputer. Jika tidak, anda mungkin membuat pembelian yang salah dan mungkin boleh menyebabkan kerugian pada pihak anda.

No comments:

Post a Comment