Riadah merupakan salah satu aktiviti yang mampu merehatkan minda setelah penat seharian berkerja. Dalam dunia yang semakin sibuk dan penuh tekanan, aktiviti riadah menjadi salah satu cara untuk menyeimbangkan kehidupan dan kesihatan, baik dari segi fizikal mahupun mental.
Menyedari hakikat ini, Bahagian Infostruktur nekad mengadakan aktiviti riadah sebagai salah satu usaha dan inisiatif dalam meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan menjaga kesihatan mental staf. Selain itu, aktiviti riadah seperti ini turut diadakan untuk mempererat hubungan kekeluargaan dan persahabatan sesama staf. Penyertaan adalah secara sukarela dan terbuka kepada semua staf Bahagian Infostruktur di ketiga-tiga kampus.
Sebagai permulaan, sukan pickleball telah diadakan pada 19 Februari 2025 pada jam 5.00 petang hingga 7.00 malam bertempat di Summer Pickleball Arena. Aktiviti tersebut bertujuan untuk mendorong kecergasan fizikal dan memupuk semangat kesukanan di kalangan staf Bahagian Infostruktur. Semua staf bergilir-gilir bermain dengan penuh semangat dan antusiasme.
Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir atas komitmen dan kerjasama yang diberikan. Semoga aktiviti seperti ini dapat memupuk suasana kerja yang positif dan mengurangkan tekanan di tempat kerja. Diharapkan aktiviti seumpama ini akan terus diadakan untuk memperkukuhkan lagi ikatan kesukarelawan di kalangan semua staf Bahagian Infostruktur.