Kerap juga saya mendengar cerita mengenai juruteknik komputer seringkali diarahkan melakukan tugas-tugas bukan hakiki yang tidak ada kena mengena dengan bidang ICT. Kebanyakan juruteknik komputer tak kisah untuk menuruti arahan dari masa ke semasa dari pihak atasan ini kerana ia adalah sebahagian daripada rencam dunia kerjaya.
Namun, tidak kurang juga ada merungut mengenai isu ini kerana berpendapat ia boleh menganggu tugas-tugas hakiki sedia ada. Ada benar juga luahan ini kerana dalam kehidupan ini kita tidak dapat mengelak dari berurusan dengan individu-individu yang gemar mengambil kesempatan dari kebaikan yang diberikan oleh orang lain.
Diarah melakukan pelbagai tugasan yang bukan berkaitan dengan bidang kerja hakiki ini jika sudah berlebihan, tentu sahaja mendatangkan rasa yang tidak senang di dalam hati kita. Kita jadi mudah untuk beranggapan bahawa ada pihak yang sudah mula mahu mengambil kesempatan dan berperangai pembuli seperti watak Giant dalam komik Doraemon terhadap kita.
Sedikit sebanyak perkara ini akan menjejaskan mood dan nawaitu kita untuk mencari rezeki dengan kerjaya kita. Mahu tak mahu, kita tetap perlu menghadapinya sebagai salah satu daripada cabaran hidup bekerjaya. Ya lah, takkan dengan dugaan sebegitu terus kita mahu mengalah dan mahu berhenti kerja sebagai juruteknik komputer. Sudahnya nanti, siapa pula yang akan menyara hidup kita dan keluarga (bagi yang sudah mendirikan rumah tangga).
Ada hikmahnya juga bila kita melakukan pelbagai tugasan luar bidang ICT ini. Salah satunya yang amat jelas adalah ilmu dan pengetahuan dari tugasan yang dilakukan itu. Misalnya saya sendiri pun pernah diarahkan untuk membina tembok pagar sekolah. Terus terang saya katakan, bidang kejuruteraan awam memang bukanlah kepakaran saya. Nak ikat bata dan bancuh simen pun tak reti, inikan pula nak bina tembok kerana saya hanyalah seorang juruteknik komputer.
Mujurlah di tempat kerja saya di sekolah dulu warganya mempunyai ikatan permuafakatan yang kuat. Kerja tersebut dilakukan secara gotong royong bersama-sama kakitangan sokongan lain di sekolah berkenaan. Hasilnya, apabila siap kami semua memperoleh sedikit ilmu bagaimana untuk membancuh simen dan cara mengikat bata yang betul. Malah, otot lengan saya menjadi sedikit sado akibat membuat kerja-kerja buruh tersebut.
Banyak lagi kerja-kerja sampingan di luar bidang tugas yang dilakukan ketika saya menjadi juruteknik komputer di sekolah dahulu. Antaranya, mengawal sistem audio, membuat pendawaian elektrik, membersihkan kolam ikan, membaiki pintu bilik darjah, mengecat dinding, melukis mural, membuat garisan trek balapan di padang serta beberapa lagi senarai tugas-tugas bukan tugas juruteknik komputer lain yang saya rasakan tidak perlu diceritakan.
Lagipun, ketika itu saya tidak merasakan tugas-tugas tersebut sebagai satu beban kerana yang bestnya pada waktu itu saya dikelilingi rakan-rakan sekerja yang mempunyai semangat muafakat. Oleh itu, tugasan-tugasan yang diberikan dari masa ke semasa menjadi ringan apabila wujudnya solidariti yang kuat dari rakan-rakan sekerja.
- Luahan dari Juruteknik Komputer di Sekolah
- Luahan dari Juruteknik Komputer di Sekolah
No comments:
Post a Comment