Sunday, 10 February 2013

Tune Talk tawar 16 telefon bimbit percuma



Syarikat telekomunikasi yang bernaung di bawah Kumpulan Tune, Tune Talk Sdn Bhd (Tune Talk) bakal memperkenalkan program penebusan mata ganjaran yang membolehkan pe­langgan mendapatkan telefon bimbit secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jason Lo berkata, program itu akan diperkenalkan selewat-lewatnya sebelum suku pertama tahun ini berakhir de­ngan sasaran menambah pelanggan baru serta menawarkan manfaat kepada pelanggan sedia ada.
“Untuk fasa pertama, kami akan menawarkan sekurang-kurangnya 16 te­lefon pelbagai jenama termasuk Samsung dan sebagainya yang mampu diperoleh secara percuma selepas pelanggan menebusnya de­ngan mata ganjaran dikumpul setiap kali mereka tambah nilai,” katanya.

Tune Talk juga bekerjasama dengan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia yang membolehkan pelanggan mendapat tiket penerbangan percuma de­ngan kadar mata ganjaran sebanyak 4,000 saja.

“Kami sentiasa menawarkan sesuatu yang baru kepada pelanggan terutama dengan menawarkan pelbagai hadiah selepas menggunakan perkhidmatan prabayar kami,” katanya dalam temu bual bersama IT@Metro selepas merasmikan Pertandingan Gabungan Seni Mempertahankan Diri Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM150,000 dengan sasaran 500 peserta yang bermula 23 dan 24 Februari ini.

Sementara itu, Lo berkata, Tune Talk menyasarkan 150,000 pelanggan menjelang tahun depan menjadikan jumlah pelanggannya mencecah 1.5 juta berbanding 750,000 sekarang.

“Angka itu dijangka terus berkembang memandang­kan kami mempunyai per­khidmatan bernilai tinggi dengan tawaran tambahan seperti kemudahan tiket penerbangan, tiket konsert dan sebagainya yang digemari rakyat negara ini,” katanya.

Beliau turut mengulas, Tune Talk tidak berhasrat membangunkan prasarana telekomunikasi sendiri apabila syarikatnya selesa bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi induknya, Celcom Axiata Berhad (Celcom) yang membolehkan Tune Talk bernaung sebagai operator rangkaian mudah alih maya (MVNO).

“Kami yakin Celcom mampu menawarkan rang­kaian yang baik dan kami berpuas hati menggunakan rangkaian telekomunikasinya.

“Sekali pun menggunakan Celcom, kami masih memberikan perkhidmatan pelanggan mengikut kemampuan kami sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment