Thursday 27 April 2017

Acer Berkongsi Lanjut Mengenai Set Realiti-Gabungan Berasaskan Windows – Acer Windows MR

Acer sebelum ini sedia berkongsi mengenai set realiti-gabungan mereka tersendiri yang berasaskan kepada Windows 10, dan hari ini mereka berkongsi lanjut mengenai peranti berkenaan.

Acer memanggilnya sebagai Acer Windows MR, dan buat masa ini ia dilihat lebih menyasarkan kepada para pembangun terlebih dahulu. Dengan langkah ini, mungkin kandungan boleh tersedia apabila ia dipasarkan secara meluas kepada pengguna umum.

 

Set realiti-gabungan ini membawakan rekaan yang berbeza dengan set realiti-maya lain dipasaran. Salah satunya adalah dimana ia menggunakan rekaan yang boleh dinaikkan atas atau bawah ketika pengguna memakainya – sekaligus membolehkan pengguna mengalihkan ia ke atas untuk melihat dunia nyata, atau menurunkannya kembali ke posisi mata untuk menikmati kandungan realiti-gabungan.

Acer Windows MR ini menggunakan sistem Windows Holographic, serta menyertakan kamera luaran untuk membolehkan kandungan yang dipaparkan mengabungkan kandungan maya pada paparan dunia sebenar.

Acer tidak mengumumkan sebarang tarikh jualan untuknya – tetapi menekankan beberapa kali mengatakan ia adalah set realiti-gabungan yang dipakai di kepala yang sangat ringan di pasaran pada hari ini.

Saturday 1 April 2017

MSI Memperkenalkan Siri Kad Grafik MSI GTX 1080 Ti Seahawk – Kad Grafik Dengan Penyejuk...

Nampaknya kad grafik NVIDIA GTX 1080 Ti yang menggunakan teknologi penyejukan cecair semakin menular sekarang, dan MSI juga kini baru sahaja mengumumkan kad grafik MSI GTX 1080 Ti Seahawk yang menggunakan teknologi penyejukan cecair.

 

Kad grafik MSI Seahawk ini menggunakan penyejuk cecair Aero yang direka dengan usaha-sama Corsair menggunakan penyejuk cecair Corsair H55 yang diubahsuai untuk dimuatkan kepada kad grafik NVIDIA GTX 1080 Ti ini.

Selain daripada penyejuk cecair MSI Aero tersebut, kad ini juga menggunakan kipas peniup dengan rekabentuk yang hampir serupa dengan rekabentuk rujukan yang digunakan oleh NVIDIA.

 

Dari segi port pula, kad grafik siri MSI Seahawk ini mempunyai tiga DisplayPort, satu port HDMI dan satu port DVI. Dalam pada itu, sama dengan kad grafik asas GTX 1080 Ti, model dengan penyejuk air ini menggunakan penyambung kuasa PCIe 6+8 pin.

Menurut MSI, ada dua kad siri Seahawk ini yang diumumkan, termasuklah MSI GTX 1080 Ti Seahawk dan Seahawk X. Bagi kad yang pertama, cip pemprosesan grafiknya mempunyai kelajuan asas 1506MHz, dengan Boost Clock selaju 1620MHz, manakala kad grafik Seahawk X mempunyai kelajuan asas 1569MHz dengan kelajuan Boost Clock 1683MHz.

 

Buat masa ini, pihak MSI masih belum mengumumkan sebarang butiran mengenai harga ataupun ketersediaan kad grafik ini.